Showing posts with label aulad dan syari'ah. Show all posts
Showing posts with label aulad dan syari'ah. Show all posts

Tuesday, October 11, 2011

PROGRAM IKRAM JUNIOR: BADAN SIHAT KAMI KUAT (QOWIYYUL JISMI)

Ahad, 9 Oktober 2011. Suasana pagi di Taman Tasik Ampang Hilir agak berbeza dari biasa. Di satu sudut di bawah redupnya rimbunan pepohonan yang menghijau kelihatan sekumpulan anak-anak berusia antara 5-12 tahun tekun mendengarkan kisah Uwais Al Qorni, seorang tabiin yang Rasulullah ceritakan kepada Saidina Umar dan para sahabat bahawa, doanya Uwais Al Qorni pasti di makbulkan oleh Allah dan dia terkenal kerana ketaatannya dalam berbakti kepada ibunya yang telah tua dan lumpuh. "Untuk menunaikan hajat ibunya yang ingin mengerjakan haji, Uwais telah mendukung ibunya dari Yaman sampai ke Mekah. Ya, Uwais seorang mukmin yang kuat dan sebagai seorang Muslim kita semua juga harus kuat kerana untuk melaksanakan tuntutan ibadah seperti Solat, Puasa, Haji dan sebagainya kita perlukan tubuh yang sihat dan kuat. Begitu juga dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai anak yang ingin berbakti terhadap ibubapa. Kita perlukan kekuatan jasmani (Qowiyyul Jismi)."

Begitulah penglipur cerita memulakan program Ikram Junior Lembah Pantai dengan tema Badan Sihat, Kami Kuat. Program ini di sertai oleh hampir 30 orang anak-anak (gabungan daerah Lembah Pantai dan Setiawangsa). Walau program bermula agak lewat dari perancangan awal, kerana terdapat beberapa orang anak yang sesat ketika ke lokasi, Alhamdulillah ianya tidak mengganggu mood ceria anak-anak dan para AJK. Mungkin kerana pemandangan Tasik yang indah dan suasana pagi yang cerah, terasa seperti kami ber rihlah. Malah kehadiran kami dan anak-anak yang santai-santai sambil makan bekalan roti dan cereal  sementara menanti ketibaan teman-teman yang lain telah menarik perhatian beberapa orang pengunjung dengan sapaan, "Berkelah ke?" :)

Setelah bercerita kisah Uwais (Show and tell), aktiviti seterusnya adalah hafalan hadis. Dengan gaya khas (rekaan pengarah program) dan suara yang penuh bersemangat anak-anak berulang kali menyebut "Al mukminul qawiyyu khairun wa ahabbu ilallah minal mu’minid dhaif" (Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah).

Aktiviti seterusnya adalah Explore race. Antara tugasan yang perlu di selesaikan di dalam explore race ini adalah mengupas dan memotong buah epal dan pisang. Alhamdulillah para peserta mendapat bimbingan dari 2 fasi utama, Kakak Nafisah dan Kakak Amirah serta 2 orang fasi bidan terjun jemputan khas iaitu Cikgu Raihan dan Ustazah Zaimah. Aktiviti explore race ini ternyata sangat mencabar dan menguras tenaga para peserta (dan fasilitator juga?). Anak-anak kembali ke check point akhir dengan wajah yang merah kepanasan dan tubuh yang longlai keletihan dan dahaga. Sedar-sedar jam sudah menunjukkan jam 11.45 pagi. Anak-anak mula kelaparan. Berehat sebentar, nasi lemak di hidangkan. Selesai menjamu selera, anak-anak di minta duduk dalam kumpulan.

Aktiviti terakhir adalah aktiviti yang di nanti-nantikan oleh anak-anak. Membuat Salad Buah.  Alhamdulillah, salad buah yang di sediakan sangat simple tapi sedap dan berkhasiat. Anak-anak siap membuat permintaan untuk membawa pulang lagi. Program ini di akhiri dengan penekanan tentang keperluan kita mempunyai tubuh yang sihat serta kepentingan amalan-amalan seperti bangun di awal pagi, mengambil makanan yang berkhasiat dan seimbang serta melakukan senaman secara berterusan untuk memastikan agar tubuh kita sentiasa sihat dan kuat. Di akhir program setiap anak-anak memperolehi cenderahati belon sabun comel dan penanda buku hadis "Al mukminul qawiyyu khairun wa ahabbu ilallah minal mu’minid dhaif".

Alhamdulillah program Ikram Junior ini berakhir jam 12.30 tengahari. Walau anak-anak kelihatan agak letih tetapi jelas terpancar kegembiraan di wajah mereka. Kami para AJK dan fasilitator pun tumpang 'seronok' dan puas kerana secara tak langsung 'tuntutan' beriadah telah dapat dilaksana, sambil menyelam minum air. Moga program ini bermanfaat dan barakah.

(Note: Jazakumullah hu khairan kathira buat semua fasilitator, ibu-ibu dan AJK yang terlibat)



Thursday, March 3, 2011

Hanya Ada Dua

Cukup atau Tidak Cukup
Sebuah kumpulan pelajar-pelajar yang mendapat tajaan MARA telah selamat menjalani Kursus Bahasa Inggeris selama empat bulan di Kelana Jaya. Hari terakhir bersama guru-guru mereka telah tiba. Pelajar-pelajar dari salah sebuah kelas, sedang bersiap-sedia untuk mengambil gambar bersama guru kesayangan mereka, Ms Low.
Ketika semua pelajar dari kelas tersebut dan Ms Low sedang membekukan senyuman dan sabar menunggu bunyi ‘klik’ daripada kamera, beliau tiba-tiba bersuara, “Is it okay? Is everybody in?” (Ada masalah? Semua orang masuk?).  Pelajar yang sedang memegang kamera menjawab, “Quite enough.” Ms Low memandang ke arahku dan tersenyum lalu berkata, “How could it be quite enough? It’s either enough or not!” (Mana boleh agak-agak cukup? Samada cukup atau tak cukup!)
Betul juga apa yang dikatakan oleh Ms Low tu. Dalam banyak keadaaan, begitulah hukum alam—cukup atau tak cukup; pahala ataupun dosa; ke syurga atau ke neraka. Hanya ada dua.

Serang atau Berbincang
Semasa aku menjadi Ketua Jabatan Perniagaan dan Ekonomi di kolej, di antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah menyediakan keperluan alatulis termasuk toner atau dakwat untuk mesin pencetak para pensyarah di jabatanku. Selalunya toner jabatanku habis dalamasa dua bulan. Tetapi kali ini, tidak sampai sebulan, sudah habis! Kerani di bahagian setor sering memperli kami, “Makan kertas A4 ke?” Nanti diperli minum toner pula!
Apabila disoal-siasat, salah seorang daripada pensyarah di dalam jabatanku mengadu bahawa lima orang pensyarah daripada Jabatan Bahasa Inggeris yang menumpang di jabatan kami, sering membuat cetakan menggunakan alat pencetak Jabatan Perniagaan dan Ekonomi. Segala yang aku sampaikan semasa kuliah untuk subjek pengurusan, terlintas di fikiran—salah satu daripada peranan seorang pengurus ialah membuat keputusan. Keputusan apa yang perlu aku ambil dalam menyelesaikan masalah di jabatanku ini?
Dengan nada yang penuh hormat dan tanpa menunjukkan apa-apa emosi serta berbekalkan selawat dan doa, aku membuat panggilan telefon kepada Ketua Jabatan Bahasa Inggeris. Dalam beberapa minit saja, aku datang kembali ke jabatanku dengan katrij toner yang baru yang diberikan oleh Ketua Jabatan Bahasa Inggeris. Beliau berjanji akan memberi amaran kepada ahli jabatannya agar tidak membuat cetakan menggunakan pencetak jabatanku.
Kalau diturutkan hati, boleh saja aku menyerang para pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris yang berada di jabatanku kerana bersenang-lenang menggunakan pencetak tersebut dan menjadikan kami mangsa ejekan kakitangan setor.
Tetapi, dalam keadaan seperti ini, aku memilh jalan yang lagi satu—berbincang, bukan menyerang.
Begitulah hukum alam—serang atau berbincang; pahala ataupun dosa; ke syurga atau ke neraka. Hanya ada dua.

Mentaati atau MengengkariNya
Kenapa kaum Adam diletakkan di taraf yang tertinggi dalam hierarki semua makhluk ciptaan Allah SWT? Semuanya disebabkan oleh kemuncak rahmat dan rasa kasih Allah SWT terhadap makhluk yang istimewa bernama manusia—yang berpotensi MEMBUAT PILIHAN untuk mentaatiNya. Tidak seperti malaikat, planet-planet dan tumbuh-tumbuhan yang memang dicipta untuk mentaatiNya, manusia dan jin perlu berusaha gigih dan berjuang melawan nafsu dan godaan untuk mendapatkan status yang mulia di sisi Allah.
Apa kata sains dalam hal ini?
Salah satu daripada cabangan ilmu perubatan ialah sains saraf kognitif. Ia banyak melakukan ujikaji dan kajian klinikal terhadap otak manusia. Di antara penemuan yang dibuat ialah tentang bagaimana otak kita bertindak seperti sebuah organisasi—memiliki beberapa jabatan-jabatan dengan tugas-tugas tertentu yang berbeza.
Dalam sebuah buku yang bertajuk Liars, Lovers and Heroes yang ditulis oleh S. R. Quartz dan T. J, Sejnowski (terbitan Quill, 2003) bahagian otak yang memantau tindakan seseorang, terletak di bahagian frontal cortex. Pesakit yang mengalami kerosakan di bahagian tersebut, menyatakan yang mereka tidak nampak pilihan dan sebab untuk bertindak atau melakukan sesuatu.
Jika diamati hasil kajian tersebut, frontal cortex juga berkaitan dengan salah satu daripada anggota wajib wudhuk iaitu selepas muka dan tangan. Apabila kita menyapu dahi kita dengan air semasa berwudhuk, kita sebenarnya menyentuh bahagian frontal cortex yang telah diperkatakan oleh Dr Quartz dan Dr Sejnowski.
Begitulah hikmah perintah Allah SWT menjadikan bahagian tersebut sebagai bahagian anggota wajib wudhuk. Amat wajarlah semasa menyapu air ke dahi tersebut, kita katakan di dalam hati, “Ya Allah, Engkau bantulah aku dalam membuat keputusan dan tindakan yang betul—tindakan dan jalan yang Engkau redhai—yang menghalakanku ke syurgaMu.“
Begitulah jua hukum alam—mentaati atau mengengkariNya; pahala ataupun dosa; ke syurga atau ke neraka. Tidak banyak pilihan dan tidak perlu rasa keliru. Hanya ada dua.

Hasil nukilan:
 Zul’aini Z. Abidin (anie276@yahoo.com)
 Bandar Tasik Permaisuri
 20 Februari 2010

About

My photo
Ukhuwah Teras Kegemilangan

Tuliskan sebarang pertanyaan/ kemusykilan/ masalah anda di sini:

Nama:
Emel:
Soalan Anda:

Get your own free form like this one.