Thursday, March 17, 2011

Ibu, Ayah berikanlah kami teladan.....

Anda menginginkan  anak yang soleh? Tanyakanlah diri anda.. apakah anda telah terlebih dahulu menjadi anak yang soleh kepada kedua ibubapa anda? Apa pun peribadi yang anda ingin bentuk pada anak anda, pastikan anda mempraktikkannya terlebih dahulu kerana  fitrah anak-anak, suka mencontohi perilaku orang yang terdekat dengan mereka.  Sebagai ibubapa, anda merupakan sumber teladan yang pertama dan paling utama bagi anak-anak. Mari  kita baca kisah 2 keluarga di bawah ini yang menggambarkan bagaimana didikan ibubapa yang di tunjukkan melalui teladan.

Tsana, salah seorang putri Hassan Al Banna bercerita, “Ayah memanggilku dan kakakku Wafa, untuk diperdengarkan Al Quran yang di baca oleh Ayah.  Kami memegang mushaf lalu menyimak bacaan ayah.  Ayah berkata, “Aku mulai membaca ayat ini…”  Ketika dewasa, baru aku faham,  bahawa apa yang dilakukan oleh ayah ketika itu, adalah mengajarkan kami dari hal yang kami tidak tahu, iaitu bagaimana membaca Al Quran dengan betul, tanpa kami sedari..” Ini adalah cara mendidik yang paling indah dirasakan oleh anak-anak.  Mereka belajar tentang sesuatu melalui contoh langsung yang ditunjukkan dari ibubapa mereka. 

Syed Husein Tabatabai dari Iran, berjaya menghafal Al Qur’an dan menguasai tafsirnya ketika berusia 5 tahun. Subhanallah, satu prestasi yang sangat luar biasa.  Namun kalau kita melihat latar belakang keluarganya, prestasi dia itu adalah sesuatu yang wajar. Ternyata ayah dan ibu Syed Husein merupakan hafidz dan hafidzah.  

Ketika Ayah Syed Husein, diminta menceritakan bagaimana dia mendidik anaknya, dengan merendah diri dia berkata, “Sebenarnya saya hanyalah seorang ayah yang tidak layak berpesan kepada orang lain. Tapi, di atas nama seorang pengajar Al Quran, maka saya ingin berpesan kepada para ibubapa bagaimana saya mengajarkan Al Quran kepadanya.  Langkah awal adalah daripada para ibubapa sendiri  yang harus memiliki perhatian khusus terhadap Al Quran terlebih dahulu.  Di rumah, ibubapa harus sentiasa membaca Al Quran.  Jika tidak, jangan berharap anak-anak akan menjadi seorang penghafal Al Quran yang mampu memahami makna Al Quran. Di rumah juga, saya membiasakan berbicara menggunakan bahasa Al Quran dengan Husein. Begitu juga ibunya. Sebagai penghafal Al Quran setiap hari kami harus membaca sekurang-kurangnya dua juzu.”

Itulah gambaran keluarga Syed Husein yang telah berjaya menjadikan anaknya seorang hafizh di usia yang sangat kecil.  Seakan tersambung dengan cara fikiran ayahnya, ketika dia diminta untuk memberikan nasihat, sambil tersenyum Syed Husein membacakan satu ayat, “Dan perintahkanlah kepada keluargamu (untuk) mendirikan solat” (Thoha:132)

Jika kita lihat dalam kehidupan para ulama dan salafusholeh, di usia yang masih kecil lagi rata-rata, mereka telah berjaya menyelesaikan hafalan Al Quran kerana contoh dan pengaruh dari ibubapa mereka. Ternyata lingkungan keluarga yang baik dan soleh akan memberikan pengaruh yang positif kepada perkembangan anak-anak. Ibubapa adalah cermin bagi anak-anak.  Kesolehan ibubapa merupakan contoh tauladan dalam mendidik. Oleh itu.. Wahai Ibu, Wahai Ayah...tunjukkan teladan yang baik kepada anak-anakmu. 

Wallahu `alam.

Hasil nukilan
Salahuda
Email : teh.huda@yahoo.com

Thursday, March 3, 2011

Hanya Ada Dua

Cukup atau Tidak Cukup
Sebuah kumpulan pelajar-pelajar yang mendapat tajaan MARA telah selamat menjalani Kursus Bahasa Inggeris selama empat bulan di Kelana Jaya. Hari terakhir bersama guru-guru mereka telah tiba. Pelajar-pelajar dari salah sebuah kelas, sedang bersiap-sedia untuk mengambil gambar bersama guru kesayangan mereka, Ms Low.
Ketika semua pelajar dari kelas tersebut dan Ms Low sedang membekukan senyuman dan sabar menunggu bunyi ‘klik’ daripada kamera, beliau tiba-tiba bersuara, “Is it okay? Is everybody in?” (Ada masalah? Semua orang masuk?).  Pelajar yang sedang memegang kamera menjawab, “Quite enough.” Ms Low memandang ke arahku dan tersenyum lalu berkata, “How could it be quite enough? It’s either enough or not!” (Mana boleh agak-agak cukup? Samada cukup atau tak cukup!)
Betul juga apa yang dikatakan oleh Ms Low tu. Dalam banyak keadaaan, begitulah hukum alam—cukup atau tak cukup; pahala ataupun dosa; ke syurga atau ke neraka. Hanya ada dua.

Serang atau Berbincang
Semasa aku menjadi Ketua Jabatan Perniagaan dan Ekonomi di kolej, di antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan ialah menyediakan keperluan alatulis termasuk toner atau dakwat untuk mesin pencetak para pensyarah di jabatanku. Selalunya toner jabatanku habis dalamasa dua bulan. Tetapi kali ini, tidak sampai sebulan, sudah habis! Kerani di bahagian setor sering memperli kami, “Makan kertas A4 ke?” Nanti diperli minum toner pula!
Apabila disoal-siasat, salah seorang daripada pensyarah di dalam jabatanku mengadu bahawa lima orang pensyarah daripada Jabatan Bahasa Inggeris yang menumpang di jabatan kami, sering membuat cetakan menggunakan alat pencetak Jabatan Perniagaan dan Ekonomi. Segala yang aku sampaikan semasa kuliah untuk subjek pengurusan, terlintas di fikiran—salah satu daripada peranan seorang pengurus ialah membuat keputusan. Keputusan apa yang perlu aku ambil dalam menyelesaikan masalah di jabatanku ini?
Dengan nada yang penuh hormat dan tanpa menunjukkan apa-apa emosi serta berbekalkan selawat dan doa, aku membuat panggilan telefon kepada Ketua Jabatan Bahasa Inggeris. Dalam beberapa minit saja, aku datang kembali ke jabatanku dengan katrij toner yang baru yang diberikan oleh Ketua Jabatan Bahasa Inggeris. Beliau berjanji akan memberi amaran kepada ahli jabatannya agar tidak membuat cetakan menggunakan pencetak jabatanku.
Kalau diturutkan hati, boleh saja aku menyerang para pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris yang berada di jabatanku kerana bersenang-lenang menggunakan pencetak tersebut dan menjadikan kami mangsa ejekan kakitangan setor.
Tetapi, dalam keadaan seperti ini, aku memilh jalan yang lagi satu—berbincang, bukan menyerang.
Begitulah hukum alam—serang atau berbincang; pahala ataupun dosa; ke syurga atau ke neraka. Hanya ada dua.

Mentaati atau MengengkariNya
Kenapa kaum Adam diletakkan di taraf yang tertinggi dalam hierarki semua makhluk ciptaan Allah SWT? Semuanya disebabkan oleh kemuncak rahmat dan rasa kasih Allah SWT terhadap makhluk yang istimewa bernama manusia—yang berpotensi MEMBUAT PILIHAN untuk mentaatiNya. Tidak seperti malaikat, planet-planet dan tumbuh-tumbuhan yang memang dicipta untuk mentaatiNya, manusia dan jin perlu berusaha gigih dan berjuang melawan nafsu dan godaan untuk mendapatkan status yang mulia di sisi Allah.
Apa kata sains dalam hal ini?
Salah satu daripada cabangan ilmu perubatan ialah sains saraf kognitif. Ia banyak melakukan ujikaji dan kajian klinikal terhadap otak manusia. Di antara penemuan yang dibuat ialah tentang bagaimana otak kita bertindak seperti sebuah organisasi—memiliki beberapa jabatan-jabatan dengan tugas-tugas tertentu yang berbeza.
Dalam sebuah buku yang bertajuk Liars, Lovers and Heroes yang ditulis oleh S. R. Quartz dan T. J, Sejnowski (terbitan Quill, 2003) bahagian otak yang memantau tindakan seseorang, terletak di bahagian frontal cortex. Pesakit yang mengalami kerosakan di bahagian tersebut, menyatakan yang mereka tidak nampak pilihan dan sebab untuk bertindak atau melakukan sesuatu.
Jika diamati hasil kajian tersebut, frontal cortex juga berkaitan dengan salah satu daripada anggota wajib wudhuk iaitu selepas muka dan tangan. Apabila kita menyapu dahi kita dengan air semasa berwudhuk, kita sebenarnya menyentuh bahagian frontal cortex yang telah diperkatakan oleh Dr Quartz dan Dr Sejnowski.
Begitulah hikmah perintah Allah SWT menjadikan bahagian tersebut sebagai bahagian anggota wajib wudhuk. Amat wajarlah semasa menyapu air ke dahi tersebut, kita katakan di dalam hati, “Ya Allah, Engkau bantulah aku dalam membuat keputusan dan tindakan yang betul—tindakan dan jalan yang Engkau redhai—yang menghalakanku ke syurgaMu.“
Begitulah jua hukum alam—mentaati atau mengengkariNya; pahala ataupun dosa; ke syurga atau ke neraka. Tidak banyak pilihan dan tidak perlu rasa keliru. Hanya ada dua.

Hasil nukilan:
 Zul’aini Z. Abidin (anie276@yahoo.com)
 Bandar Tasik Permaisuri
 20 Februari 2010

About

My photo
Ukhuwah Teras Kegemilangan

Tuliskan sebarang pertanyaan/ kemusykilan/ masalah anda di sini:

Nama:
Emel:
Soalan Anda:

Get your own free form like this one.