Monday, August 29, 2011

HARI WANITA, HARI RAYA DAN HARI KEMERDEKAAN


PERUTUSAN KHAS SEMPENA HARI WANITA, HARI RAYA DAN HARI KEMERDEKAAN 2011
Hari Wanita, Hari Raya dan Hari Kemerdekaan pada tahun ini bagaikan segugus pulau berkumpul dalam satu bulan di lautan 2011.
Setiap satu pastinya mengandungi erti yang tersendiri, khususnya berkaitan dengan jatidiri wanita.
Justeru, bersempena dengan hari-hari tersebut Wanita IKRAM ingin mengutuskan ucapan dirgahayu buat semua wanita.
Pertama:
Sempena dengan Hari Wanita kali ini, mari kita jadikan sebagai hari memantapkan jatidiri kewanitaan kita. Wanita yang diciptakan oleh Maha Pencipta ‘Azza wa Jalla daripada jasad yang sama dengan lelaki. Diciptakan untuk menjadi pasangan yang serasi, pendamping yang saling kasih mengasihi. Oleh itu, lelaki dan wanita sama taraf. Tiada kelebihan antara satu sama lain kecuali dengan taqwa. Dalam konteks ini, Allah Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” An-Nisa’: 124
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” An-Nahl: 97
Kedua:
Hari Raya merupakan anugerah Yang Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Orang yang berpuasa dengan iman dan ihtisab diampuni dosa-dosanya yang lalu. Lantaran itu Hari Raya  puasa dinamakan Hari Raya fitrah, kerana selepas berpuasa, umat Islam seolah-olah kembali kepada fitrah asal, suci daripada dosa laksana bayi yang baru lahir ke dunia. Justeru, Hari Raya adalah hari untuk kita membuka lambaran hidup baru, melangkah dengan penuh yakin, cergas dan pantas melaksanakan tugas dan tanggujawab yang diamanahkan oleh Pencipta ‘Azza wa Jallla kerana diri tidak lagi terbeban memikul dosa-dosa yang berat, yang menggelapkan hati, fikiran dan perasaan.
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” Maksud al-Anfal:24
Ketiga:
Hari Kemerdekaan disambut oleh seluruh rakyat di peringkat kebangsaan sempena kebebasan negara dari penjajahan Negara Barat. Namun seorang wanita, khususnya muslimah harus melihat erti kebebasan lebih jauh daripada itu. Kebebasan yang hakiki adalah apabila kita bebas dari segala belenggu perhambaan kepada selain Allah, atau dengan kata lain mengikhlaskan ubudiah (pengabdian) dengan tulus ikhlas hanya kepada-Nya semata-mata.
Saat ini masih banyak perkara yang membelenggu dan membelit diri kita sehingga merencatkan pengabdian kita kepada-Nya. Di kalangan wanita ada yang masih dibelenggu cinta dunia, dikongkong budaya leka, jahil, malas dan berbagai-bagai sifat negatif sehingga membenarkan diri diperguna dan dieksploitasi oleh pelbagai pihak.
Maka sewajarnya kita, kaum wanita mengambil kesempatan dengan hadirnya ketiga-tiga  hari yang sangat bererti dan penting ini, untuk mempertingkatkan kesedaran serta komitmen mempertahankan;
1. Jatidiri kewanitaan (menurut kehendak Pencipta ‘Azza wa Jalla);
2. Hak memahami dan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sesuai dengan jatidiri kewanitaan yang selaras dengan syari’at Pencipta.
       3. Erti kebebasan atau kemerdekaan sebenar yang merupakan fitrah semula jadi setiap       insan.
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” Maksud An-Nisaa’: 1
Ketua Wanita IKRAM Pusat
Ustazah Maznah Daud

Sumber foto: Wanita Ikram 

Tuesday, August 23, 2011

RUNTUHNYA RAMADHAN DI TENGGALAMI TSUNAMI AIDIL FITRI


HARI ini 23 Ramadan 1432 Hijrah. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara. Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.

Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT? Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.

Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.

Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.

Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti. Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?

Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam. Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.

Bersahutan

Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.

Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.

Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan. Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.

Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3.

Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:

Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.

Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa). Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.

Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan. Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.

Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan. Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.

Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.

Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati

Photo: Google

Friday, August 12, 2011

MAAFKAN KAMI, RAMADHAN

Maafkan kami Ramadhan. Kepala kami tertunduk malu kerana engkau menjanjikan kami berlimpah kebaikan, tapi kami tenggelam dalam kehinaan" (Syaikh Adil bin Ahmad). Ramadhan... mungkin belum menemukan apa yang seharusnya dia temukan dalam diri kita.
******* 
Hari ini Ramadhan telah bertandang menemui kita selama 12 hari. Dia datang dengan membawa pelbagai 'buah tangan' yang penuh dengan berkah, rahmat, ampunan, dan pengabulan harapan. Selama kehadirannya, apa yang telah kita 'hidangkan' kepada tetamu agung ini?
Mari kita menjengah kembali bagaimana Rasulullah SAW dan orang-orang terdahulu (para sahabat dan salafusoleh), saat mereka meraikan kehadiran Ramadhan, si tetamu agung. Setiap detik kehadirannya, Rasulullah sentiasa menemani dia dengan penuh cinta. Tanpa lelah, baginda hidupkan malam hari dengan shalat dan bermunajat dengan sang pengutus Ramadhan, iaitu Allah SWT. Tanpa berhitung, baginda menemani Ramadhan dengan 'menebarkan' sedekah dan membahagikan rezeki kepada orang-orang miskin dan yang memerlukan. Tanpa jemu, Rasulullah 'berbicara' dengan Ramadhan dalam tasbih dan perkataan yang menyenangkan. .

Mungkin juga, kita perlu belajar dari para sahabat dan salafusoleh yang bersungguh-sungguh ketika mengadakan jamuan bagi Ramadhan yang mulia. Ada Umar Al Khatab ra yang menghidupkan Ramadhan dengan menyalakan lampu-lampu minyak di masjid, untuk mengumpulkan masyarakat bersolat terawih dan tilawah Al Quran sehingga dia di doakan Ali bin Abi Thalib, "Semoga Allah SWT, memberi cahaya kepada kuburmu wahai Ibnul Khattab, sebagaimana engkau memberi cahaya kepada masjid dengan Al Quran." Ada Uthman bin Affan yang khatam Quran setiap hari selama Ramadhan. Ada Imam Malik, Syafie dan Ahmad yang meninggalkan segala aktiviti rutinnya hanya sekadar untuk menjamu Ramadhan yang bertamu pada hari–harinya. 
Bagaimana pula keadaan kita ketika menjamu Ramadhan yang telah meninggalkan kita selama 11 hari lalu? Sudahkah kita berikan yang terbaik buat tetamu agung ini untuk dipersembahkan kepada Allah swt nanti? Jika belum, apakah jamuan yang akan kita persiapkan untuk 18 hari yang masih tersisa. Adakah kita akan terus mengabaikannya dengan tidur dan melalaikan waktu? Adakah kita akan tenggelam dalam pelukan Ramadhan dengan esak tangis memohon keampunan? Adakah kita akan menjamunya dengan amalan – amalan terbaik kita? Tepuk dada tanya iman. Buatlah keputusan segera apa yang akan kita lakukan sebelum dia terlanjur pergi meninggalkan kita dalam penyesalan…

Sekali lagi, mungkin kita harus minta maaf pada Ramadhan. Kerana dia belum menemukan dalam diri kita sesuatu yang seharusnya dia harapkan dalam kehadirannya bersama kita. Sebagaimana dia pernah hadir di tengah -tengah manusia yang memperlakukannya dengan sangat istimewa, yang tidak hanya berhenti di gerbangnya, yang tidak tunduk dan terperdaya oleh musuh hawa nafsu.

Ketikan Ate: Petikan Tarbawi dan Inspirasi Mapple Holic

Tuesday, August 2, 2011




PERUTUSAN KETUA WANITA
PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
1 Ogos 2011 bersamaan 1 Ramadhan 1432 H
Mudahnya Wanita Merebut Peluang Mengaut Pahala Di Bulan Ramadhan

Wanita IKRAM ingin mengambil kesempatan kehadiran Ramadan tahun ini, mengajak umat Islam umumnya dan kaun wanita khususnya untuk sama-sama menyambut Ramadan dengan penuh kesyukuran dan berazam untuk memanfaatkan kelebihan yang ada padanya sebaik mungkin.
Sesungguhnya bulan Ramadhan telah datang mengunjungi kamu. Bulan penuh keberkatan. Allah S.W.T telah mewajibkan kamu berpuasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup. Syaitan-syaitan ditambat. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang dari kebaikannya maka sesungguhnya dia benar-benar terhalang.”
Demikian maksud sepotong Hadis Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh an-Nasa’e daripada Abu Hurairah r.a.
Umum maklum akan kelebihan dan keistimewaan Ramadan. Namun masih ramai di kalangan umat Islam yang tidak peka dan tidak merebut peluang keemasan yang Allah sediakan di dalam bulan yang mulia penuh barakah ini.
Ramadan mensucikan diri dari dosa, mengembalikan kita kepada fitrah, di samping peluang-peluang yang terbuka luas untuk kita, terutama kaum wanita mengaut pahala sebanyak-banyaknya.
Antara  peluang-peluang besar bagi wanita untuk mengaut pahala di bulan puasa ialah:

1. Menguruskan berbuka puasa.
 Tidak kira di mana dan apa bangsa sekalipun, sama ada di bandar atau di desa, rata-ratanya wanita yang menyediakan makanan untuk berbuka puasa seisi keluarga. Nabi s.a.w. telah bersabda (maksudnya):

"Sesisapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa itu)"
Al-Baihaqi dan Ibn Khuzaimah.

Bayangkan berapa orang ahli keluarga di rumah anda dan sebanyak itu pulalah pahala puasa yang anda dapat jika anda menyediakan makanan berbuka untuk mereka. Ini termasuk hari-hari uzur anda di mana  anda tetap mendapat pahala puasa. Seeloknya sediakanlah makanan itu sekurang-kurangnya buah kurma dan air dengan duit sendiri. Pasti pahalanya berganda, pahala menyediakan dan pahalan infaq. Bagi wanita yang tidak ada pendapatan, mulalah menyimpan untuk infaq pada tahun hadapan jika panjang umur. Kalau umur tak panjangpun, insyaAllah akan diberi pahala juga kerana telah berniat. Namun demikian perlu juga diingatkan supaya kita tidak berlebih-lebihan dan elakan pembaziran di dalam menyedialkan juadah berbuka.



2. Mengajak dan Menyediakan Sahur.
 Seringkali seorang ibu, iaitu seorang wanitalah yang mengejutkan ahli keluarga untuk bangun sahur. Bersahur adalah antara sunat-sunat puasa yang besar pahalanya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):
"Barsahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah".
Al-Bukhari dan Muslim.

Dengan mengajak dan membantu orang lain berbuat perkara sunat, iaitu perkara yang baik kita juga akan mendapat pahala orang yang melakukannya. Subhanallah.
3. Suami beriktikaf di masjid pada malam-malam 10 terakhir Ramadhan.
Ramai di kalangan wanita yang berkesempatan ikut beriktikaf di masjid bersama suami. Namun lebih ramai yang tidak berpeluang kerana tanggungjawab terhadap keluarga dan anak-anak. Sungguhpun begitu, wanita tetap berpeluang untuk meraih pahala dengan berniat untuk turut serta jika ada peluang. Dan dengan menolong menyiapkan keperluan suami pergi beriktikaf dan dengan menjaga ahli keluarga di rumah, kaum wanita akan tetap berkongsi pahala dengannya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):

"Sesiapa yang mempersiapkan seorang pejuang, maka sesungguhnya dia telah berjuang. Dan sesiapa yang menjaga dengan baik ahli keluarga seseorang yang pergi berjuang, maka sesungguhnya dia juga telah berjuang".
Al-Bukhari dan Muslim

Bukankah suami pergi beriktikaf di masjid itu satu perjuangan untuk menjejaki Lailatul-Qadar yang lebih baik daripada 1000 bulan?

Perkara-perkara di atas hanyalah merupakan sebahagian sahaja dari peluang merebut pahala yang ditawarkan di bulan Ramadhan. Ianya tidak termasuk amalan-amalan fardi yang dilakukan oleh wanita itu sendiri seperti puasa, tarawih, baca al-Quran, berdoa, berzikir, menghubungkan silatul-rahim dan lain-lain. Peluang yang begitu besar Allah swt tawarkan dan tiada alasan untuk kita tidak merebutnya.

 Adapun syarat untuk kita mendapat ganjaran hebat itu adalah:
  1. Beriman dan mentauhidkan Allah dengan semurni-murninya. Elakkan sebarang syirik yang nyata dan tidak nyata;
  2. Ikhlaskan niat dengan setulus-tulusnya. Jangan mengharap ganjaran atau pujian manusia; dan
  3.  Betulkan amalan mengikut prinsip Syariat dengan selurus-lurusnya. Jauhkan bid'ah, ikut-ikutan atau beramal dalam kejahilan.



Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Monday, August 1, 2011

Ahlan Wasalan Ya Ramadhan Kareem

Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN.




Semoga Ramadhan kali ini dihiasi dengan penuh ibadah tanpa ketinggalan setiap saat.

Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun lepas.

Ikhlas daripada:
Wanita IKRAM WP.

About

My photo
Ukhuwah Teras Kegemilangan

Tuliskan sebarang pertanyaan/ kemusykilan/ masalah anda di sini:

Nama:
Emel:
Soalan Anda:

Get your own free form like this one.