Monday, April 11, 2011

Bahagian 1 : Pinjaman atau pembiayaan? Sama atau tidak?


          Aku melangkah ke bank terkemuka di Kuala Lumpur dengan penuh harapan agar ‘margin keuntungan’ bank ini rendah daripada bank sebelum ini yang aku baru ziarahi pagi tadi. Peluh menitik di celah kening ku sapu segera dengan sehelai tisu yang kuambik dari beg tangan. Di tangan kiri pula kugenggam fail berisi dokumen-dokumen penting. Perjanjian jual beli yang sah ditangani oleh aku dan penjual serta salinan kad pengenalan, slip gaji, borang cukai tahunan dan lain-lain tersusun kemas di dalam fail plastic berwarna biru. Berbekalkan pengalaman lalu, aku memang sudah faham kehendak bank dalam setiap permohonan pembiayaan. Tanpa dokumen-dokumen, permohonan tidak dapat diproses dengan kadar segera atau tidak akan dilayan.
          Dalam pada itu, aku terlihat kaunter mengambil nombor disebelah hadapan kiri ku. Aku bersegera menyapa kerani yang mukanya kulihat penuh make-up. Agak cantik dan bergaya dengan baju seragam bank dikenakan kelihatan menyarung tubuhnya yang agak kecil. Memang muda, mungkin baru tamat  pengajian sijil atau diploma bisik hati kecilku. “Cik Linda, (mataku cepat meleret membaca tanda nama yang terpampang di dada bajunya dan kutahu itu adalah cara yang terbaik mendapatkan perhatian), bagaimana akak boleh mendapatkan maklumat pembiayaan perumahan bank ini serta ingin mengetahui ‘peratusan keuntungan’ yang diambil bank?”.
          “OOooh..untuk pinjaman perumahan dan mengetahui ‘interest rate’ (peratusan faedah), akak boleh berjumpa dengan Cik Fadilah, pegawai pemasaran kami. Meja Cik Fadilah adalah selang beberapa meja dari kaunter”, sambil tangannya menunjuk kepada meja selang 5 meja disebelah kanan kaunternya.
          “Kalau macam tu Cik Linda Cik Fadilah menguruskan pembiayaan perumahan secara Islam menurut perbankan Islam dan bukan pinjaman perumahan. Sebab dalam perbankan Islam, tiada pinjaman melainkan pinjaman peribadi menggunakan konsep ‘Qardul Hassan’atau pinjaman atas belas kasih dan nama baik.
          Manakala untuk perumahan, ianya tiada kaitan lansung dengan pinjaman jadi tidak tepatlah kalau kita merujuk kepadanya sebab pinjaman juga.” Terangku pada Cik Linda, kedengaran dengan nada agak tinggi dan serius. Memang kalau bab tersilap rujuk kepada terma dan perkataan, anginku cepat benar bertukar menjadi serius dan boleh disalah tafsir sebab marah.
          “Maaf saya orang baru disini. Baru 3 bulan. Puan ni bekerja di Bank Islam ke”, Tanya Cik Linda seperti serba salah sambil tangannya seperti menggaru muka dalam kebinggungan.
          “Ehh..jangan salah sangka, saya bukan marahkan Cik Linda. Cumanya saya agak sensitive kalau orang gunakan perkataan dalam konvensional didalam perbankan Islam. Saya dah tak bekerja di perbankan Islam sejak lebih 10 tahun lalu. Sekarang ni hanya mengajar aje”. Balasku dan memandang wajahnya dengan senyuman sambil tangan menepuk perlahan bahunya.
           “Kalau di perbankan Islam, untuk perumahan, konsep kontrak secara Shariah yang digunakan ialah ‘Al-Bai-Bithaman Ajil’ kan?” Tanyaku lagi untuk mengurangkan rasa bersalahnya dan mendapatkan kepercayaan daripadanya.
          “Iya betulah tu, baru minggu lepas saya dengar semasa taklimat pagi di bank ini.” Balasnya gembira agaknya dapat memahami maksudku bahawa aku berniat baik dalam membetulkan istilah tersebut.
          “Dan sebenarnya banyak lagi konsep kontrak yang digunakan untuk pembiayaan perumahan seperti Musyarakah Mutanaqisah, Ijarah, Bay Muajjal dan lain-lain. Tapi di Malaysia ini, Bai’ Bithaman Ajil sangat terkenal” terangku lagi apabila melihat wajah dan matanya yang bulat menandakan dia ingin tahu lebih lanjut.
          “Dan bukan itu sahaja, kalau di konvensional bank, hubungan antara pelanggan dan bank hanyalah peminjam dan pemiutang tetapi di perbankan Islam, hubungan antara pelanggan adalah lebih dari itu. Hubungan boleh jadi antara pembeli dan penjual dalam kontrak BBA, antara pengongsi dalam kontrak Musyarakah Mutanaqisah dan lain-lain” terangku sambil tangan menyelak dan menunjukkan kepadanya borang pembiayaan perumahan yang ku capai dalam perjalaanan ke kaunter ini.
          “Maaflah, akak ni kalau bercakap pasal perbankan Islam boleh ambil masa berhari-hari. Takut mengambil masa Cik Linda sahaja. Saya pun nak mencari Cik Fadilah. Maaf sekali lagi kalau mengambil masa Cik Linda ya.” Balasku sambil menyimpan borang tadi kedalam fail plastikku tadi.
          “Ehh...tak apa sebab saya memang mencari peluang untuk belajar. Maklumlah orang baru jadi banyak yang saya tidak tahu. Patutnya saya yang mengucapkan terima kasih banyak-banyak pada akak membetulkan istilah”. Balasnya dengan cepat dan penuh ikhlas sambil tangan cepat mengenggam tanganku.
          “Terima kasih ya kak” tanganku digengam. Aku menghela nafas lega kerana teguranku diterima baik.
          “Alhamdulillah, itu adalah sifat yang baik kerana selalu ingin belajar dan menyedari diri itu sentiasa tidak tahu dan perlu tahu”. Balasku sambil menepuk bahunya.
         
Pengajaran dari cerita:-
1) Dalam perbankan Islam, istilah pinjaman tidak sama dengan pembiayaan perumahan.
2) Dalam perbankan Islam, istilah pinjaman merujuk kepada aktiviti dimana bank sebagai pemiutang memberikan wang sebagai pinjaman kepada pelanggan atau peminjam.
3) Kontrak untuk perumahan adalah tidak mengunakan kontrak pinjaman kerana dalam pinjaman, bank tidak boleh meminta bayaran lebih kerana ini dianggap ‘riba’ dan bersalahan dengan prinsip Syari’ah.
4) Dalam perbankan Islam, istilah pembiayaan adalah tepat kerana kontrak yang digunakan adalah termasuk kontrak jual beli, sewa beli, pengkongsian dan pemilikan yang beransur kurang (partnership with declining ownership) dan lain-lain.
5) Gunakan istilah yang tepat dalam bermuamalat.
Penulis adalah seorang pensyarah ‘Perbankan Islam’ diuniversiti tempatan. Beliau boleh dihubungi melalui aknorzitah@yahoo.com

No comments:

Post a Comment

About

My photo
Ukhuwah Teras Kegemilangan

Tuliskan sebarang pertanyaan/ kemusykilan/ masalah anda di sini:

Nama:
Emel:
Soalan Anda:

Get your own free form like this one.