Saturday, June 11, 2011

TIJARAH

Wahai orang-orang yang beriman, mahukah Aku tunjukkan kepadamu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad dijalan-Nya dengan harta dan dirimu dengan dibalasi syurga di sisi Allah swt.

Fitrah manusia amat suka kepada perniagaan apabila aktiviti itu mendatangkan keuntungan. Rasulullah saw menjalankan perniagaan ketika umur baginda masih muda. Dalam Islam banyak disentuh tentang hal-hal yang berkaitan dengan perniagaan. Bahkan dalam hadis juga disebutkan 90% punca rezeki itu adalah daripada bidang perniagaan. Dengan berniaga atau menjadi usahawan, kita bebas mengatur kewangan sendiri, dapat mengatur urusan keluarga, anak-anak dengan lebih fleksibel. Kita juga dapat membahagikan masa dengan  lebih mudah agar segala tugas dan kewajipan dapat terlaksana dengan lebih baik. Apalagi untuk kita yang ingin berbakti terhadap Islam dan dakwah yang amat mulia ini. Adakalanya pendapatan tak seberapa, namun keberkatan itu dapat kita rasakan kalau memang pekerjaan yang kita lakukan itu ikhlas kerana Allah swt.

Setiap orang yang berniaga pasti mengharapkan keuntungan berlipatkali ganda. Tetapi tidak semua perniagaan dapat memberikan keuntungan. Kita banyak mendengar para usahawan yang mengalami kerugian beberapa kali sebelum mereka memperolehi keuntungan. Kerugian ini sangat memberikan impak dan kesan yang besar dalam kehidupan mereka, apalagi sekiranya mereka telah mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk modal usaha mereka. Kerugian ini dapat menimbulkan kesan psikologi yang negatif terhadap diri usahawan dan keluarga mereka. Sekiranya usahawan tersebut tidak menyandarkan segala masalahnya pada Rabb semesta alam, sudah pasti beliau menjadi seorang yang pesimis, putus asa, menyalahkan diri sendiri dan orang lain, dan yang terakhir, nau’zhubillah ada kecenderungan untuk mengakhiri riwayat diri sendiri.    

Namun berbeza bagi seorang muslim yang mukmin, segalanya adalah positif. Sekiranya dia dikurniakan kebaikan, dia bersyukur dan sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar dan menyerahkan segalanya kepada Allah swt yang Maha Mengetahui.

Bagi usahawan yang berjaya dalam perniagaan selalunya mereka menjadi orang-orang yang sangat cinta akan perniagaannya, sehingga seluruh kemampuannya akan dikerahkan untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut. Ini adalah fitrah manusia. Namun bagi seorang mukmin, walau bagaimana berjaya sekalipun perniagaan dunia yang beliau lakukan, perniagaan dengan Allah swt sahajalah yang menjadi keutamaan mereka. Perniagaan dunia ini hanyalah jambatan atau syarat yang digunakan untuk melaksanakan perniagaan dengan Allah swt. Oleh sebab itulah seorang muslim biasa-biasa hanya menafkahkan wang infaq mengikut peratus yang ditetapkan, tetapi seorang mukmin yang cintakan Islam akan menginfaqkan seluruh atau separuh daripada hartanya untuk Islam. Itulah yang terjadi pada  Abu Bakar As-Siddiq  dan  Umar Al-Khattab. Bahkan para sahabat Rasulullah saw berlumba-lumba untuk hal yang sama. Sehingga  Umar mengakui bahawa beliau tidak dapat menandingi Abu Bakar yang menginfakkan seluruh hartanya untuk Islam dan dakwah ini. Apabila ditanyakan kepada  Abu Bakar apakah yang beliau tinggalkan untuk isteri dan anak-anaknya maka beliau menjawab bahawa Allah dan Rasul-Nya sahajalah cukup untuk keluarganya. Jawapan seperti ini hanya akan diberi oleh seorang yang sangat kuat aqidahnya. Apakah semuanya ini dapat terjadi secara kebetulan atau kerana peribadi Abu Bakar yang kita kenali sebagai seorang yang berkapabiliti? Semuanya ini tidak terjadi secara kebetulan,saudara-saudaraku. Semuanya ini terjadi hasil dari madrasah tarbiyah didikan penghulu para rasul, nabi Muhammad saw.

Sesungguhnya harta yang disukai oleh Allah adalah harta yang berada di tangan orang yang beriman. Ini disebabkan orang yang beriman memahami bahawa harta tersebut adalah milik Allah.Dia yakin sekiranya Allah menghendaki harta tersebut akan diambil pada bila-bila masa sahaja. Seorang mukmin memahami dalam harta tersebut ada hak orang yang memerlukan, jadi beliau mengeluarkan zakatnya. Seorang mukmin juga memahami bahawa sebaik-baik tauladan adalah Rasulullah saw sehingga beliau berusaha untuk hidup secara sederhana walaupun beliau mampu. Kesederhanaan itu tidak sampai menghalangi beliau dari mempunyai keperluan hidup primer yang sangat membantu kehidupan supaya dapat berjalan lebih efektif. Kesederhanaan itu mengajar beliau supaya menjauhi keperluan hidup sekunder atau tertier yang lebih kepada pembaziran.

Suatu ketika dahulu pada zaman Rasulullah saw, ada seorang sahabat yang terlalai daripada solatnya sehingga apabila ditanya oleh Rasulullah saw akan sebabnya, beliau menjawab kerana terpegun melihat keindahan kebun miliknya berserta unggas di dalamnya. Sehingga Rasulullah saw menegurnya bahawa kebun tersebut telah menjadi fitnah kepadanya. Akhirnya sahabat tadi telah menginfaqkan kebunnya itu untuk kepentingan Islam kerana tidak mahu kebun itu menjadi penghalang atau fitnah kepada beliau untuk mendapatkan syurga Allah.

Pada suatu hari seorang ikhwah anggota gerakan IM datang lambat ke mesyuarat. Maka imam Hassan Al Banna telah menyelidiki hal tersebut kerana pada kebiasaannya ikhwah tersebut adalah seorang yang sangat menepati waktu. Setelah diselidiki diketahui bahawa ikhwah tersebut telah menjual basikal yang memang hanya satu kepunyaannya untuk kegunaan setiap hari. Basikal tersebut telah dijual supaya duit hasil jualan itu diinfaqkan oleh beliau untuk keperluan dakwah pada saat itu. Berinfaq bukanlah hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang berharta, tapi juga oleh orang-orang yang sangat memerlukan harta. Semoga Allah merahmati saudara kita tadi.

Marilah kita merenung firman Allah dalam QS Al Baqarah ayat 273, ” (Apa yang kamu infaqkan) adalah untuk orang-orang fakir yang terhalang usahanya kerana jihad di jalan Allah,sehingga dia tidak dapat berusaha di bumi; orang lain yang tidak tahu menyangka bahawa mereka adalah orang-orang kaya kerana mereka menjaga diri dari meminta-minta. Engkau(Muhammad) mengenal mereka dari ciri-cirinya, mereka tidak meminta secara paksa kepada orang lain. Apapun harta yang baik yang kamu infaqkan, sungguh Allah maha mengetahui. ”

Para sahabat di zaman Rasulullah adalah orang-orang yang menjadi sukarelawan muslim dan dakwah. Hidupnya adalah untuk dakwah, pekerjaannya untuk dakwah, pendapatannya juga untuk dakwah dan keutamaan pertama dalam hidup mereka adalah dakwah. Seluruh pemikiran, pekerjaan setiap hari, aktiviti fizikal, bahkan tidurnya lebih berfokus kepada dakwah. Kita telah membaca dalam sejarah bahawa fasa Mekah hanyalah 13 tahun dan fasa Madinah adalah 10 tahun. Islam tertegak dalam masa hanya 23 tahun! Peperangan demi peperangan yang terjadi beberapa kali dalam setahun sehingga sebenarnya para sahabat hanya dapat mengurus keluarganya cuma dalam masa tak sampai 5 bulan dalam setahun. Kita dapat membayangkan begitu banyak keterbatasan yang mereka miliki akibat masa yang lebih banyak ditumpukan untuk dakwah tadi.

Siapakah yang membantu mereka?

 Allah Maha Adil. Di kalangan para sahabat ada beberapa orang yang boleh kita sebutkan jutawan. Bukan suatu dongengan apabila kita juga membaca sejarah bahawa ada sahabat yang menginfaqkan kebunnya yang berhektar,  Othman bin Affan telah membeli perigi sumber mata air (dari orang Yahudi) untuk kegunaan seluruh penduduk di suatu daerah. demikian juga Khadijah binti Khuwailid membantu Rasulullah saw dengan seluruh jiwa dan hartanya sehingga akhir hayatnya beliau tidak punya apa-apa.

Seorang mukmin mempunyai izzah dan maruah diri yang tinggi. Beliau tidak akan meminta-minta kepada orang disebabkan kekurangan hidup yang mereka alami. Namun ciri-ciri mereka dapat kita lihat dengan jelas sepertimana yang diungkapkan oleh Allah dalam firman-Nya di atas tadi. Cuba kita bertanya pada diri, apakah kita layak dikatakan beriman sekiranya jiran kita kelaparan sedangkan kita tidur kekenyangan?

Kebijaksanaan dalam mengurus harta yang dilakukan oleh seorang mukmin dapat kita abadikan dengan jelas pada zaman pemerintahan khalifah Umar b. Abd Aziz. Beliau hidup dalam kesederhanaan sementara semua rakyat hidup dalam kesejahteraan, sehingga untuk mencari orang-orang yang memerlukan zakat adalah sesuatu yang sukar di zaman pemerintahannya.

Jadi, perniagaan yang macamana yang mesti kita lakukan untuk mendapatkan keuntungan di dunia dan akhirat?
Berniagalah dengan Allah swt yang menguasai rezeki di seluruh alam. Kita mesti tidak akan rugi, baik di dunia ataupun di akhirat. Iaitu kita beriman kepada Allah dan Rasulullah saw, berjihad di jalan-Nya dengan harta dan jiwa kita. Kita bersama-sama dengan golongan orang-orang yang seperti ini, kerana pekerjaan ini tidak dapat dilakukan secara persendirian. Mereka adalah orang-orang yang telah dipilih oleh Allah.

 Bagaimana dengan orang-orang yang tidak pernah berniaga? Cubalah supaya ada suatu usaha kecil walaupun anda telah ada pekerjaan tetap dengan gaji setiap bulan, kerana pasti anda akan merasakan bahawa berniaga itu adalah hal yang berbeza, yang lebih menguji minda dan iman anda. Sesuatu pendapatan yang kita dapatkan dengan hasil titikpeluh sendiri adalah kemanisan yang sukar digambarkan dan dikongsikan dengan orang yang tidak pernah mengalaminya. Sepertimana juga sekiranya anda adalah orang yang sering menerima, anda tidak dapat merasakan bagaimana kebahagiaan dan kepuasan yang dirasakan oleh orang yang memberi.

Semuanya ini melatih diri kita dan melatih kemampuan kita memahami orang lain dengan lebih baik, secara tidak langsung ukhuwwah sesama kita akan dapat dipereratkan. Namun sekiranya anda tidak mahu berniaga dengan manusia, maka berniaga dengan Allah adalah pilihan yang paling tepat, kerana anda tidak akan risau dengan kerugian.
Bahkan keuntungan yang dijanjikan adalah berlipatkali ganda.

Berjihad dengan harta kita tidak sama dengan bersedekah dengan harta kita. Begitu juga tidak sama antara hanya memberikan harta tapi diri kita sendiri tidak ikut serta bekerja untuk kepentingan Islam. Yang diminta oleh Allah swt adalah kedua-duanya- harta dan diri kita, kerana Allah telah menyiapkan balasan untuk itu semua, iaitu SYURGA yang ABADI.

Wallahua’lam.

Zurimah

1 comment:

About

My photo
Ukhuwah Teras Kegemilangan

Tuliskan sebarang pertanyaan/ kemusykilan/ masalah anda di sini:

Nama:
Emel:
Soalan Anda:

Get your own free form like this one.