Saturday, April 23, 2011

JOM CARI HARTA KARUN

Baru-baru ini Wanita Ikram Putrajaya telah mengadakan satu aktiviti untuk kanak-kanak sekolah rendah di Pejabat Ikram Putrajaya dan taman bersebelahannya. Aktiviti bertemakan “Sebijak Rasulullah” itu disertai oleh 34 kanak-kanak lelaki dan perempuan dari kawasan sekitar Putrajaya dan dibantu oleh 6 orang fasilitator yang terdiri dari pelajar perubatan. Program pagi itu dimulakan dengan solat dhuha berjemaah dan dituruti dengan bacaan Al Mathurat untuk mendidik anak-anak membiasakan diri dengan amalan-amalan yang dicintai Rasulullah (saw).
Kemudian tibalah acara yang ditunggu-tunggu iaitu acara mencari harta karun. Peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan dan diberikan satu senarai barang-barang yang perlu dicari. Mereka hendaklah bekerjasama dalam kumpulan untuk mencari barang-barang tersebut yang disorokkan di sekitar kawasan taman. Bertebaranlah mereka kesana sini masing-masing mahu menjadi kumpulan yang pertama menjumpai kesemua barangan tersembunyi.
Apabila kesemua barangan telah dijumpai, mereka perlu menjawab soalan kuiz berdasarkan sirah Rasulullah (saw). Barulah tahu siapa bijak!
Setelah penat mencari harta, barulah terasa lapar dan dahaga. Menu tengahari adalah nasi lemak. Alhamdulillah, memang sedap!
Selesai makan, acara penyampaian hadiah pun bermula. Seronok anak-anak membahagi-bahagikan makanan dari ‘hamper’ masing-masing. Yang ‘best’nya, semua dapat hadiah. Yay!
Alhamdulillah program berjalan lancar dan bersurai pada jam lebih kurang 12.30 tengahari. Maklumbalas yang diterima rata-rata peserta mengatakan mereka seronok dengan aktiviti hari itu. Baguslah, tapi harapnya secara tidak langsung mereka dapat belajar daripada program tersebut. InshaAllah.
Jumpa lagi!                                                     
 

Monday, April 11, 2011

Bahagian 1 : Pinjaman atau pembiayaan? Sama atau tidak?


          Aku melangkah ke bank terkemuka di Kuala Lumpur dengan penuh harapan agar ‘margin keuntungan’ bank ini rendah daripada bank sebelum ini yang aku baru ziarahi pagi tadi. Peluh menitik di celah kening ku sapu segera dengan sehelai tisu yang kuambik dari beg tangan. Di tangan kiri pula kugenggam fail berisi dokumen-dokumen penting. Perjanjian jual beli yang sah ditangani oleh aku dan penjual serta salinan kad pengenalan, slip gaji, borang cukai tahunan dan lain-lain tersusun kemas di dalam fail plastic berwarna biru. Berbekalkan pengalaman lalu, aku memang sudah faham kehendak bank dalam setiap permohonan pembiayaan. Tanpa dokumen-dokumen, permohonan tidak dapat diproses dengan kadar segera atau tidak akan dilayan.
          Dalam pada itu, aku terlihat kaunter mengambil nombor disebelah hadapan kiri ku. Aku bersegera menyapa kerani yang mukanya kulihat penuh make-up. Agak cantik dan bergaya dengan baju seragam bank dikenakan kelihatan menyarung tubuhnya yang agak kecil. Memang muda, mungkin baru tamat  pengajian sijil atau diploma bisik hati kecilku. “Cik Linda, (mataku cepat meleret membaca tanda nama yang terpampang di dada bajunya dan kutahu itu adalah cara yang terbaik mendapatkan perhatian), bagaimana akak boleh mendapatkan maklumat pembiayaan perumahan bank ini serta ingin mengetahui ‘peratusan keuntungan’ yang diambil bank?”.
          “OOooh..untuk pinjaman perumahan dan mengetahui ‘interest rate’ (peratusan faedah), akak boleh berjumpa dengan Cik Fadilah, pegawai pemasaran kami. Meja Cik Fadilah adalah selang beberapa meja dari kaunter”, sambil tangannya menunjuk kepada meja selang 5 meja disebelah kanan kaunternya.
          “Kalau macam tu Cik Linda Cik Fadilah menguruskan pembiayaan perumahan secara Islam menurut perbankan Islam dan bukan pinjaman perumahan. Sebab dalam perbankan Islam, tiada pinjaman melainkan pinjaman peribadi menggunakan konsep ‘Qardul Hassan’atau pinjaman atas belas kasih dan nama baik.
          Manakala untuk perumahan, ianya tiada kaitan lansung dengan pinjaman jadi tidak tepatlah kalau kita merujuk kepadanya sebab pinjaman juga.” Terangku pada Cik Linda, kedengaran dengan nada agak tinggi dan serius. Memang kalau bab tersilap rujuk kepada terma dan perkataan, anginku cepat benar bertukar menjadi serius dan boleh disalah tafsir sebab marah.
          “Maaf saya orang baru disini. Baru 3 bulan. Puan ni bekerja di Bank Islam ke”, Tanya Cik Linda seperti serba salah sambil tangannya seperti menggaru muka dalam kebinggungan.
          “Ehh..jangan salah sangka, saya bukan marahkan Cik Linda. Cumanya saya agak sensitive kalau orang gunakan perkataan dalam konvensional didalam perbankan Islam. Saya dah tak bekerja di perbankan Islam sejak lebih 10 tahun lalu. Sekarang ni hanya mengajar aje”. Balasku dan memandang wajahnya dengan senyuman sambil tangan menepuk perlahan bahunya.
           “Kalau di perbankan Islam, untuk perumahan, konsep kontrak secara Shariah yang digunakan ialah ‘Al-Bai-Bithaman Ajil’ kan?” Tanyaku lagi untuk mengurangkan rasa bersalahnya dan mendapatkan kepercayaan daripadanya.
          “Iya betulah tu, baru minggu lepas saya dengar semasa taklimat pagi di bank ini.” Balasnya gembira agaknya dapat memahami maksudku bahawa aku berniat baik dalam membetulkan istilah tersebut.
          “Dan sebenarnya banyak lagi konsep kontrak yang digunakan untuk pembiayaan perumahan seperti Musyarakah Mutanaqisah, Ijarah, Bay Muajjal dan lain-lain. Tapi di Malaysia ini, Bai’ Bithaman Ajil sangat terkenal” terangku lagi apabila melihat wajah dan matanya yang bulat menandakan dia ingin tahu lebih lanjut.
          “Dan bukan itu sahaja, kalau di konvensional bank, hubungan antara pelanggan dan bank hanyalah peminjam dan pemiutang tetapi di perbankan Islam, hubungan antara pelanggan adalah lebih dari itu. Hubungan boleh jadi antara pembeli dan penjual dalam kontrak BBA, antara pengongsi dalam kontrak Musyarakah Mutanaqisah dan lain-lain” terangku sambil tangan menyelak dan menunjukkan kepadanya borang pembiayaan perumahan yang ku capai dalam perjalaanan ke kaunter ini.
          “Maaflah, akak ni kalau bercakap pasal perbankan Islam boleh ambil masa berhari-hari. Takut mengambil masa Cik Linda sahaja. Saya pun nak mencari Cik Fadilah. Maaf sekali lagi kalau mengambil masa Cik Linda ya.” Balasku sambil menyimpan borang tadi kedalam fail plastikku tadi.
          “Ehh...tak apa sebab saya memang mencari peluang untuk belajar. Maklumlah orang baru jadi banyak yang saya tidak tahu. Patutnya saya yang mengucapkan terima kasih banyak-banyak pada akak membetulkan istilah”. Balasnya dengan cepat dan penuh ikhlas sambil tangan cepat mengenggam tanganku.
          “Terima kasih ya kak” tanganku digengam. Aku menghela nafas lega kerana teguranku diterima baik.
          “Alhamdulillah, itu adalah sifat yang baik kerana selalu ingin belajar dan menyedari diri itu sentiasa tidak tahu dan perlu tahu”. Balasku sambil menepuk bahunya.
         
Pengajaran dari cerita:-
1) Dalam perbankan Islam, istilah pinjaman tidak sama dengan pembiayaan perumahan.
2) Dalam perbankan Islam, istilah pinjaman merujuk kepada aktiviti dimana bank sebagai pemiutang memberikan wang sebagai pinjaman kepada pelanggan atau peminjam.
3) Kontrak untuk perumahan adalah tidak mengunakan kontrak pinjaman kerana dalam pinjaman, bank tidak boleh meminta bayaran lebih kerana ini dianggap ‘riba’ dan bersalahan dengan prinsip Syari’ah.
4) Dalam perbankan Islam, istilah pembiayaan adalah tepat kerana kontrak yang digunakan adalah termasuk kontrak jual beli, sewa beli, pengkongsian dan pemilikan yang beransur kurang (partnership with declining ownership) dan lain-lain.
5) Gunakan istilah yang tepat dalam bermuamalat.
Penulis adalah seorang pensyarah ‘Perbankan Islam’ diuniversiti tempatan. Beliau boleh dihubungi melalui aknorzitah@yahoo.com

Anak-anak Penerus Masa Depan Kita Adalah Tanggungjawab Bersama

       
             Generasi masa kini yang lebih dikenali sebagai ‘Generasi I’ atau ‘generasi internet’ berisiko terdedah dan terlanjur kepada aktiviti tidak sihat yang menjadi gejala sosial dibandar mahu pun di kampong. Mengikut Wikipedia, Generasi internet ini juga dikenali sebagai Generasi Z, Generasi @, Generasi 9/11, Generasi ‘Dreamer’, Generasi Internet atau Generasi ‘Net’.  Generasi I ini berumur 10 tahun ke bawah pada peristiwa September 11. Ini bermaksud pada tahun 2011, mereka ini telah berumur 20 tahun dan menjadikan bahawa kumpulan umur ini adalh 20 tahun dan ke bawah. Salah satu daripada peribadi mereka yang menonjol adalah mereka ini adalah generasi yang sangat aktif menggunakan bukan setakat computer, laptop, i-pad, i-pod, handphone, i-phone tetapi ‘gadget’ yang lebih daripada ini. Melalui ‘gadget’ ini, mereka terdedah kepada semua bahan yang ada diinternet mahu pun yang berunsur baik termasuk juga yang tidak baik.
            Kebimbangan menjadi serius apabila aktiviti menonton dan mengakses kepada bahan pornografi dan ganas sangat berleluas dikalangan generasi ini terutamanya. Generasi ini seawal berumur 7 tahun dikatakan telah pandai mengakses bahan internet dan terdedah kepada bahan pornografi, lucah (samada zina atau rogol), samseng, buli dan ganas. Semua ini berpunca kepada sejauh mana peranan ibubapa dalam mengawal perilaku anak-anak dirumah, peranan sekolah dalam mengawal aktiviti tidak sihat di sekolah dan kerajaan dalam mengawal kemasukkan bahan-bahan tersebut melalui badan-badan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
            Kebimbangan ini turut di suarakan oleh Profesor Madya Dr Mariani Md Nor dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM), berkata terlalu banyak kesan negatif jika membiarkan remaja melayari internet tanpa pengawasan yang mendorong mereka melayari laman web lucah. Umur mereka yang hampir atau sudah akil baligh dengan faktor mudah dan murah untuk mengakses bahan lucah di internet sudah semestinya membuat syahwat yang kemuncak dan akhirnya ketagihan bahan-bahan ini. Dengan pergaulan yang bebas, mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk merogol, mencuba bersama kawan sekolah, teman dan lain-lain. Akibatnya ini akan menyebabkan mereka mengabaikan mata pelajaran, pencapaian akademik merosot, keruntuhan moral serta hubungan renggang dengan keluarga. Keruntuhan moral dan gejala sosial negatif yang tidak dapat dibendung apatah lagi dikawal adalah mempunyai rentetan faktor dari ketagihan bahan lucah akibat dari pengaksesan ke internet yang tidak terkawal.
            Menurut  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), daripada 25 laman web lucah yang sangat popular terutama di kalangan remaja hanya dua yang boleh disekat.  Ini adalah kerana tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menyekat atau menutup laman web berkenaan. Pengendali laman web pula dikatakan mampu mengelak undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang longgar dan pemeriksaan pengawasan pula hanya dijalankan secara rambang serta berdasarkan aduan. Laman-laman ini dikatakan bebas beroperasi di negara malah mengaut keuntungan besar. Keuntungan ini dibuat dengan menggenakan caj semurah 15 sen sehari tetapi jika dihitung dengan kadar purata 4,565 pengunjung sehari, pengendali web mampu meraih keuntungan lebih RM20,000 sebulan dengan pendapatan RM675 sehari.
            Benarkah SKMM tidak mempunyai bidang kuasa menyekat laman-laman web tersebut.  Sebenarnya terdapat peruntukkan seksyen 211, AKM 1998, yang membawa maksud mengekal, menjamin perkembangan sihat dalam dunia siber, kegiatan menghantar atau menyebar bahan lucah adalah bertentangan dengan nilai moral. Jelasnya AKM 1998 boleh digunakan untuk mengenakan tindakan ke atas sesiapa yang menghantar, menyebar bahan lucah di internet. Namun AKM 1998 dikatakan telalu longgar dalam mengawal perkembangan penyebaran bahan lucah berikutan terlalu banyak laman web lucah berpangkalan di dalam dan luar negara yang boleh diakses secara mudah. Disamping itu, difahamkan bahawa  kerajaan telah memberikan jaminan untuk tidak menapis bahan internet seperti termaktub di dalam Rang Jaminan MSC Malaysia (MSC Malaysia Bill of Guarantees). Rang jaminan ini dibuat dengan tujuan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat berkaitan MSC di negara ini.
            Kerajaan perlu memainkan peranan aktif untuk menyokong penyekatan bahan dari laman-laman web tersebut dengan melaksanakan peruntukan sediaada. Adalah dicadangkan bahawa AKMM diperketatkan undang-undang seperti Peruntukkan Seksyen 211 dan 233 AKM 1998 yang mana mengenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan bersalah berkenaan bahan lucah di internet. Kerajaan melalui AKMM perlu mengetatkan perlaksaan Seksyen 211 dan 233. SKMM perlu juga memainkan peranan pro-aktif dalam menyekat laman-laman web ini bukan sahaja menunggu laporan dari para pengguna laman web.
            Sekolah juga perlu memainkan peranan menyekat akses ke web lucah menggunakan program komputer yang sesuai. Pelbagai pendedahan pendidikan tentang keburukan melayari laman-laman ini perlu dibuat oleh pihak sekolah ke atas anak-anak.  Sekolah berperanan meletakkan jati diri yang mantap di dalam jiwa anak-anak untuk menolak terus kehendak melayari web yang tidak mendatangkan faedah.
            Ibubapa perlu memantau aktiviti anak-anak d irumah ketika menghadap komputer. Di rumah mungkin juga boleh dibuat sekatan-sekatan ke atas laman-laman web berunsur lucah ini. Peranan ibubapa tidak dinafikan sangat penting dalam memberi pendidikan tentang kesan negatif ke atas pengaksesan ke laman-laman web tersebut. Ibubapa perlu meluangkan masa yang berkualiti dengan anak-anak bagi memberikan kasih sayang dan dengan itu diharap dapat menjadikan anak lebih terurus. Pendidikan agama di rumah dan d sekolah boleh menanamkan jati diri yang mantap dalam penolakan kepada terjerumus ke laman-laman web ini.
            Kesimpulan baik atau mundurnya sesebuah negara bergantung kepada generasi masa depannya. Jadi, semua pihak bertanggungjawab memastikan cerahnya masa depan negara dengan memastikan baiknya generasi masa depan, iaitu anak-anak mereka masa ini.

Penulis adalah daripada
Ahli Wanita IKRAM WP

Sunday, April 10, 2011

Interview Harian Metro dengan KW, Dr Niekmah Adam.

Didikan agama sekat zina

KUALA LUMPUR: Didikan agama dan pengisian rohani yang kurang mantap punca utama perbuatan tidak bermoral seperti pembuangan bayi berleluasa di kalangan masyarakat, walaupun bermacam-macam saranan bagi menanganinya diketengahkan pelbagai pihak.
Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Dr Niekmah Adam, berkata tiba masanya aspek didikan agama ditekankan bermula di rumah bagi menyekat pelbagai gejala negatif termasuk zina hingga melahirkan anak luar nikah dan pembuangan bayi sebagai langkah terakhir.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam hal ini kerana jika sejak awal lagi anak-anak tidak diterapkan nilai Islam, jiwa mereka kosong dan tentu sekali mudah terjebak perkara dilarang agama,” katanya yang mengulas gejala pembuangan bayi yang tidak berkesudahan.



‘Ketepikan ego’
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Sama ada si anak mahupun bapa perlu membuang ego dalam diri, selain memaafkan kesalahan yang pernah terjadi demi mencapai jalan penyelesaian terbaik,” kata Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Dr Niekmah Adam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad semalam mengenai dendam kesumat disimpan seorang anak tunggal terhadap ayahnya yang bersikap baran selain mendera dan memaki dirinya hingga menyebabkan anak berkenaan tergamak mendoakan kematian lelaki itu.

Dr Niekmah berkata, apabila dilihat pada zahirnya sikap bapa yang sering mendera anak atau mendidik dengan cara kekerasan bakal mewujudkan satu jurang pemisah selain menanam perasaan dendam yang membara dalam hati.
“Walaupun hakikatnya masalah ini berpunca daripada kesalahan si ayah yang menggunakan kekerasan sepanjang proses membesarkan anaknya namun kesalahan itu tidak sepatutnya diteruskan dan tindakan seumpama 'Si Tanggang' dengan mendoakan kematian lelaki itu nyata tersasar daripada landasan ajaran Islam.

“Anak yang menjadi mangsa penderaan itu perlu menerima segala ketetapan yang termaktub dalam suratan hidupnya dengan kerelaan selain berusaha membersihkan dendam kesumat terhadap lelaki yang hakikatnya adalah ayah kandungnya sendiri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, doa dan ibadat kepada Yang Maha Esa adalah senjata utama yang dapat membuang perasaan negatif dalam diri kerana dendam dan perselisihan yang berpanjangan tidak menjamin kebahagiaan malah memburukkan lagi keadaan.
“Si ayah perlu mengaku terhadap kesalahan sendiri dengan mengungkapkan rasa bersalah selain meminta maaf kepada anaknya demi meredakan perasaan dendam dan marah yang terbuku dalam hati sanubari anak itu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya si anak enggan bertaubat dan masih melakukan kekejaman terhadap bapanya bagi membalas dendam, masalah itu akan berterusan tanpa penghujung dan yang nyata tidak akan mendatangkan sebarang faedah malah mencerminkan senario negatif di kalangan masyarakat tempatan yang beragama Islam.

Friday, April 1, 2011

HARGA SEBUAH KASIH SAYANG......

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah. "Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.

"Baik,kalau tak mengaku,dua- dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam,lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit,setitis pun airmata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"
Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!" Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.
Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang
bangga sekali!"
"Tapi apalah maknanya bang... !" aku terdengar ibu teresak-esak.
"Di mana kita nak cari duit membiayai mereka?" Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!" Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg... .sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.
"Kenapa kamu ni?Tahu tak,kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak. "Kakak perempuan... biarlah kakak yang berhenti." Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat... ..
"Kak... untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak." Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk
ayah. Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!" "Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?" Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.
"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu.Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.
Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen.
Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu. "Emak,tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan. "Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya. "Tak... .Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi... aku menangis seperti selalu.
Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik. "Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."
"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?" Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya... ."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar." "Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria. Adakah kita sanggup sungguh2 berkorban untukNYA sbg bukti cinta dan kasih kita?

fikir dan renungkan..

Daripada: Raihan Ishak, dipetik daripada karya penulis bebas: Meezwan

About

My photo
Ukhuwah Teras Kegemilangan

Tuliskan sebarang pertanyaan/ kemusykilan/ masalah anda di sini:

Nama:
Emel:
Soalan Anda:

Get your own free form like this one.